Minggu, 01 Juli 2012

Buatlah Mereka Tersenyum (Anak Yatim)


Setiap manusia tidak terlepas daripada ujian Allah Subhanahu wa Ta'ala. Iman yang kental, takwa dan kesabaran boleh mengatasi kesemua ujian ini. Setiap musibah yang datang, ada hikmat disebaliknya. Anak kecil yang tak berbapa adalah musibah kepada anak kecil itu, dia akan terdedah kepada berbagai-bagai ancaman sosial. Namun demikian, Islam telahpun mengatur semua urusan hidup ini dengan cara yang terbaik bagi mencapai kehidupan yang selamat dan bahagia. Maka anak kecil yang tak berbapa atau lebih dikenali sebagai anak yatim diberi perhatian yang sewajarnya, supaya dia akan menghadapi hidup ini dengan penuh harapan.

Tidak dinafikan dalam masyarakat kita masih kaya dengan sifat kasih sayang, simpati dan bertanggungjawab terhadap anak-anak yatim. Umpamanya ditubuhkan Dana Pengiran untuk anak-anak yatim dan lain-lain pihak adalah tanda sifat kasih sayang itu.

Dalam hubungan anak yatim ini, bagaimanakah tafsiran syara' dalam menentukan siapakah yang berhak digelar sebagai anak yatim. Irsyad hukum kali ini akan menjelaskan perkara yang berhubung dengan anak yatim.

Tafsiran Anak Yatim

Anak yatim ialah anak kecil yang tiada mempunyai bapa. Maksud tidak mempunyai bapa itu ialah tiada mempunyai bapa yang diketahui menurut syara' sebagaimana yang dikatakan oleh Al-'Allamah Al-Fadhil Wa Al-Qudwah Al-Kamil Asy-Syeikh Ibrahim Al-Baijuri.

Berdasarkan takrif tersebut, Asy-Syeikh Ibrahim Al-Baijuri telah menggolongkan anak zina, anak yang dinafikan nasabnya dengan li'an antara suami isteri atau half (sumpah) dan anak pungut sebagai anak-anak yatim.

Had Umur Anak Yatim

Had umur anak yatim itu ialah kanak-kanak yang masih belum lagi mencapai had umur baligh sama ada lelaki ataupun perempuan. Apabila seseorang itu sudah mencapai umur baligh, maka tidaklah lagi dinamakan dia sebagai anak yatim bahkan mereka dipanggil sebagai orang yang baligh. Sabda Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam:

Maksudnya: "Tidak ada keyatiman apabila telah bermimpi (yakni mencapai umur baligh)."
(Hadis riwayat Abu Daud)

Adapun tanda-tanda baligh bagi lelaki dan perempuan ialah telah mencapai umur lima belas tahun (Qamariah) atau bermimpi dengan keluar air mani (ketika berumur sembilan tahun Qamariah).

Manakala tanda-tanda baligh bagi perempuan sahaja (selain sukat-sukat umurnya lima belas tahun) ialah keluar darah haid iaitu kira-kira berumur sembilan tahun Qamariah.

Hukum Memakan Harta Anak Yatim

Memakan harta anak yatim secara zalim adalah termasuk dalam dosa-dosa besar dan mendapat seksa yang amat pedih. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala yang tafsirnya :

"Dan berikanlah kepada anak-anak yatim (yang telah baligh) itu akan harta mereka, dan janganlah kamu tukar gantikan yang baik dengan yang buruk, dan janganlah kamu makan harta mereka (dengan menghimpunkannya) kepada harta kamu, kerana sesungguhnya (yang demikian) itu adalah dosa yang besar."  (Surah An-Nisa': 2)

FirmanNya lagi yang tafsirnya :
"Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka, dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala."  (Surah An-Nisa': 10)

Banyak disebutkan dalam hadis tentang ancaman dan peringatan terhadap orang-orang yang memakan harta anak yatim. Di antaranya, hadis daripada Abu Dzar yang maksudnya :

"Bahawasanya Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Wahai Abu Dzar! Sesungguhnya aku lihat kami ini orang yang lemah. Sesungguhnya aku sangat menyayangimu. Janganlah engkau  memberikan kepimpinan kepada dua orang sekaligus dan janganlah engkau membiarkan harta anak yatim dikuasai oleh orang yang tidak bertanggungjawab."  (Hadis riwayat Muslim)

Sabda Baginda lagi daripada Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu maksudnya :
"Daripada Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam Baginda bersabda: "Hindarilah tujuh perkara yang merosakkan (dosa besar)."

Mereka berkata: "Apakah dia wahai Rasulullah?

Baginda bersabda: "Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang telah diharamkan oleh Allah (membunuhnya) melainkan dengan (jalan) yang hak (yang dibenarkan oleh syara'), makan riba, makan harta anak yatim, melarikan diri ketika perang dan menuduh (berzina) wanita-wanita yang muhshanat (wanita yang menjauhkan perkara dosa) yang beriman lagi tidak terlintas memikirkan sebarang kejahatan."  (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Haram bagi penjaga memakan harta anak yatim walau sedikit pun melainkan yang dibenarkan oleh syara'. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala yang tafsirnya:

"Dan sesiapa (di antara penjaga harta anak yatim itu) yang kaya maka hendaklah ia menahan diri (dari memakannya); dan sesiapa yang miskin maka bolehlah ia memakannya dengan cara yang sepatutnya."  (Surah An-Nisa': 6)

Penjaga yang miskin harus mengambil sedikit daripada harta anak yatim itu dengan kadar hajat sahaja dan janganlah pula melampaui batas.

Walau bagaimanapun dalam kitab Ar-Raudah, jika penjaga yang miskin itu mampu setelah dia mengambil sedikit harta anak yaitm tersebut adalah tidak wajib baginya untuk mengganti semula harta anak yatim itu menurut pendapat yang azhar.

Ganjaran Bagi Kafil Anak Yatim

Kafil bererti orang yang bertanggungjawab mengurus nafkah, pakaian, mengasuh anak yatim dan sebagainya. Wali atau penjaga anak-anak yatim itu hendaklah berlaku adil dan berbuat baik terhadap mereka. Ganjaran bagi orang-orang yang berbuat baik terhadap anak-anak yatim amatlah besar di sisi Allah Subhanahu wa Ta'ala. Sabda Rasulullah Shallallahu 'alaiihi wasallam yang maksudnya :

"Saya dan penjaga anak yatim berada dalam syurga seperti ini, Baginda mengisyaratkan dengan kedudukan jari telunjuk dan jari hantu, dan merenggangkan keduanya sedikit."  (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Sabda Baginda lagi daripada hadis Abu Hurairah katanya yang maksudnya :
"Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Penjaga anak yatim daripada kerabat atau bukan kerabatnya, saya dan dia (penjaga itu) seperti dua (jari) ini di dalam syurga. Malik (periwayat hadis) mengisyaratkannya dengan jari telunjuk dan jari hantu."  (Hadis riwayat Muslim)

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu 'anhu katanya yang maksudnya :
"Daripada Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Sebaik-baik rumah orang muslim ialah rumah yang ada di dalamnya anak yatim sedang (penjaga itu) berbuat baik kepadanya. Seburuk-buruk rumah orang muslim ialah rumah yang ada di dalamnya anak yatim sedang (penjaga itu) berbuat jahat kepadanya."  (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Zakat Anak Yatim

Adapun anak yatim yang mempunyai harta sama ada daripada tanam-tanaman, emas dan perak, perniagaan, binatang dan sebagainya adalah wajib bagi penjaga mengendalikan pembayaran zakat daripada harta anak yatim itu. Adapun jika penjaga itu tidak mengeluarkan zakat daripada harta anak yatim tersebut, maka wajib bagi anak itu membayarnya sesudah baligh. Akan tetapi berdosa bagi penjaga yang melengahkan pembayaran zakat itu.

Manakala zakat fitrah bagi anak yatim, wajib ke atas penjaga atau penanggung nafkah membayar zakat fitrah untuk anak yatim tersebut. Ini kerana penjaga itu mengantikan tempatnya.

Adapun jika anak yatim itu memiliki harta, wajib bagi penjaga mengendalikan pembayaran zakat fitrah daripada harta anak yatim itu.

Korban Dan Aqiqah Untuk Anak Yatim

Tidak harus bagi penjaga anak yatim melakukan korban atau aqiqah dengan menggunakan harta anak yatim. Ini bertujuan untuk mengambil langkah berhati-hati, kerana ditegah bertabarru' (sedekah) dengan menggunakan harta anak yatim sedangkan korban itu adalah tabarru'.

Penutup

Adalah menjadi tanggungjawab kita semua dalam mengambil berat terhadap anak yatim lebih-lebih lagi orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga anak yatim tersebut, agar berlaku adil dan sekali-kali jangan melakukan kezaliman terhadap mereka.

Sikap pemedulian masyarakat terhadap anak yatim ini hendaklah dikekalkan agar mendapat ganjaran yang besar daripada Allah Subhanahu wa Ta'ala.


Niyaz Khalil
Harapan dari Seorang Sahabat

0 komentar:

Posting Komentar

 
;