Minggu, 01 Juli 2012

Durhaka kepada Ibu Bapa, Kemurkaan Allah (Part 3)


Hukum Taat Kepada Ibu Bapa Yang Bukan Islam
Sebagaimana yang dijelaskan bahawa berbuat baik kepada ibu bapa itu merupakan fardhu 'ain. Maknanya, wajib setiap orang berbuat ihsan kepada mereka. Dan kewajipan ini tidak tertentu kepada ibu bapa yang berugama Islam sahaja. Malahan bagi sesiapa yang ibu atau bapanya, atau kedua-duanya bukan berugama Islam juga diwajibkan taat dan berbuat baik kepada mereka, selama mana mereka tidak menyuruh anaknya untuk berlaku syirik (menyekutukan Allah) atau melakukan maksiat yakni perkara-perkara yang bertentangan dengan perintah Allah dan laranganNya.

Perkara ini jelas sebagaimana firman Allah Ta'ala yang tafsirnya :
"Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang berlaku adil."
(Surah Al-Mumtahanah, ayat 8)

Selain itu hadits Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam juga menjelaskan mengenai perkara ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Asma' binti Abu Bakar Radhiallahu 'anhuma, beliau menceritakan yang maksudnya :

"Pada zaman Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam ibuku yang masih musyrik suatu hari datang mengunjungiku. Lalu aku meminta fatwa kepada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam, aku berkata: "(Ibuku datang) dalam keadaan senang hati, apakah aku masih perlu meneruskan hubunganku dengan ibuku?" Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Ya, tetaplah meneruskan hubungan dengan ibumu."
(Hadits riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Maka berdasarkan dalil-dalil ini, anak perlu meneruskan hubungan yang baik dengan ibu bapa yang bukan Islam sungguhpun anak dan ibu bapa berlainan agama.

Oleh itu, apabila berbicara dengan mereka, sianak hendaklah berbicara dengan lemah lembut, penuh sopan santun dan menunjukkan rasa mahabbah. Apabila memanggil mereka, panggillah dengan perkataan yang menyedapkan hati mereka. Berilah mereka petunjuk pada perkara-perkara yang mendatangkan kebaikan.

Dosa Orang Yang Durhaka Kepada Kedua Ibu Bapa

Jika berbuat ihsan kepada kedua ibu bapa itu merupakan tuntutan fardhu 'ain maka perbuatan mengabaikan tuntutan itu pula termasuk di antara dosa besar. Terdapat beberapa jumlah dalil syara' yang menegaskan mengenainya dengan jelas dan nyata. Di antaranya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abdullah bin 'Amr, beliau berkata yang maksudnya:

"Seorang berbangsa Arab datang kepada Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam lalu berkata: "Wahai Rasulullah apakah dia dosa besar?" Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam menjawab: "Mensyirikkan Allah." Dia (orang Arab itu) berkata lagi: "Kemudian apa?", Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam menjawab: "Kemudian menderhaka kedua ibu bapa ."
(Hadits riwayat Al-Bukhari)

Di dalam riwayat yang lain dijelaskan bahawa orang yang menderhaka kepada kedua ibu bapa itu tidak akan masuk syurga, sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abdullah bin 'Amr Radhiallahu 'anhu, daripada Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam, Baginda bersabda yang maksudnya:

"Tidak masuk syurga orang suka mengungkit-ungkit pemberiannya, orang yang derhaka kepada kedua ibu bapanya dan orang yang gemar minum minuman keras."
(Hadits riwayat Imam Ahmad)

Di dalam riwayat yang lain lagi dinyatakan bahawa orang yang derhaka kepada kedua ibu bapanya tidak akan mendapat perlindungan pada hari kiamat. Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda yang maksudnya :

"Tiga golongan yang tidak dipandang oleh Allah 'Azza wa Jalla pada hari kiamat: orang yang derhaka kepada kedua ibu bapanya, perempuan yang meyerupai seperti laki-laki dan orang yang dayus."
(Hadits riwayat An-Nasa'ie)

Bersambung …


Niyaz Khalil
Harapan dari Seorang Sahabat

0 komentar:

Posting Komentar

 
;