Pengajaran
Dari Kisah 'Alqamah
Satu kisah
yang berlaku pada zaman Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam yang dialami oleh
seorang sahabat yang bernama 'Alqamah.
'Alqamah
tergolong daripada salah seorang sahabat Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam yang
taat dan rajin beribadat; mendirikan sembahyang, berpuasa dan bersedekah. Namun
pada saat kematiannya 'Alqamah sangat menderita. Begitu sulit dia hendak
menghadap Allah Ta'ala. Mulutnya seperti terkunci untuk mengucapkan kalimah
tauhid sungguhpun setelah ditalqin yakni diajarkan oleh para sahabat Nabi
Shallallahu 'alaihi wasallam yang lainnya.
Peristiwa
ini dikhabarkan kepada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam. Setelah
mendengar khabar berita ini Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam bertanya
apakah dia mempunyai kedua ibu bapa yang masih hidup? Dijawab pertanyaan
Baginda itu: "Wahai Rasulullah! 'Alqamah mempunyai seorang ibu yang sudah
tua."
Kemudian
Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam mengutus seseorang untuk pergi berjumpa ibu
'Alqamah dan menyampaikan pesan bahawa Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam
menjemputnya datang berjumpa Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam jika ibunya
itu mampu untuk berjalan, jika tidak mampu berjalan Nabi Shallallahu 'alaihi
wasallam sendiri akan datang berjumpa dengannya.
Apabila
pesan Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam disampaikan kepada ibu 'Alqamah,
diapun sanggup untuk datang berjumpa Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam.
Setelah tiba, diapun memberi salam dan dijawab oleh Baginda Shallallahu 'alaihi
wasallam, lalu Baginda bertanya: "Apakah gerangan keadaan 'Alqamah anakmu
ini?" Ibunya menjawab: "Dia seorang yang banyak bersembahyang, banyak
berpuasa dan banyak bersedekah." Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam
bertanya lagi: "Bagaimana pula keadaanmu?" Ibu 'Alqamah menjawab:
"Aku marah kepadanya wahai Rasulullah!" Baginda Shallallahu 'alaihi
wasallam terus bertanya: "Kenapa pula?" Siibu menjawab: "Dia
('Alqamah) lebih mengutamakan isterinya daripada aku dan menderhakai aku."
Baginda
Shallallahu 'alaihi wasallam pun bersabda: "Sesungguhnya kemurkaan ibu
'Alqamah telah mengunci lidah 'Alqamah lantas dia tidak dapat mengucapkan
syhadah." Kemudian Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam memerintahkan
Bilal Radhiallahu 'anhu mengumpulkan kayu api sebanyaknya. Siibu bertanya:
"Wahai Rasulullah! Tuan hendak buat apa dengan kayu api yang banyak
ini?" Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam menjawab: "Aku akan bakar
'Alqamah dengan api."
Maka pada
saat itulah, cinta seorang ibu yang telah lama terkubur dalam hatinya mulai
hidup dan bersemi lagi. Siibu berkata: "Wahai Rasulullah! 'Alqamah anak
saya, aku tidak sanggup melihat anakku sendiri dibakar di hadapanku."
Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Wahai ibu 'Alqamah! Azab
Allah lebih pedih dan lebih lama. Jika engkau mahu Allah Mengampunkannya,
engkau redhailah dia, engkau maafkanlah dia. Demi diriku berada di dalam
kekuasaanNya, segala sembahyang yang dikerjakan oleh 'Alqamah, puasanya dan
sedekahnya tidak akan memberi apa-apa manfaat kepadanya selagi engkau tidak
redha kepadanya." Ibu 'Alqamah pun berkata: "Wahai Rasulullah!
Sesungguhnya aku naik saksi di hadapan Allah, para MalaikatNya dan orang-orang
Islam yang hadir ini bahawa aku redha akan anakku 'Alqamah."
Rasulullah
Shallallahu 'alaihi wasallam memerintahkan Bilal Radhiallahu 'anhu pergi
melihat 'Alqamah apakah dia sudah boleh mengucapkan kalimah tauhid ataupun tidak? Mungkin ibu 'Alqamah hanya
bercakap begitu hanya dibibir saja tetapi tidak sepenuh hati, kerana menjaga
hati Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam. Lalu Bilal pun pergi melihat 'Alqamah,
dan dilihatnya 'Alqamah sudah boleh mengucapkan kalimah tauhid. Selepas itu
'Alqamah pun menghembuskan nafasnya yang terakhir dengan tenang.
Setelah
selesai mayat 'Alqamah disempurnakan, Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam berdiri
di tepi kubur 'Alqamah dan bersabda: "Wahai sekalian orang-orang Muhajirin
dan Anshar! sesiapa yang mengutamakan isterinya daripada ibunya, maka wajib ke
atasnya laknat Allah, para Malaikat dan sekalian manusia. Allah tidak akan
menerima segala amalannya, sama ada yang sunat ataupun yang fardhu melainkan
setelah dia bertaubat kepada Allah Ta'ala, berbuat baik kepada ibunya dan
mencari keredhaannya, maka redha Allah 'Azza wa Jalla terletak pada redha
ibunya dan kemurkaan Allah itu terletak pada kemurkaan ibunya."
Iktibar atau
pengajaran yang dapat diambil dari kisah yang berlaku kepada 'Alqamah di atas
di antaranya ialah:
1) Memang
benar syurga itu terletak di bawah telapak kaki ibu sebagaimana yang disabdakan
oleh Baginda Shallallahu 'alaihi wasallam ketika seorang sahabat Baginda
meminta izin untuk ikut berperang. Tetapi sebelum itu Nabi Shallallahu 'alaihi
wasallam bertanya kepadanya apakah dia masih mempunyai ibu? Dia menjawab:
"Ya". Lalu Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam memerintahkan dengan
bersabda yang maksudnya :
"Jaga
baik-baik ibumu, kerana sesungguhnya syurga itu di bawah dua kaki ibu."
(Hadits
riwayat An-Nasa'ie dan Ahmad)
'Alqamah
seorang sahabat Nabi yang taat dan baik, tetapi disebabkan kedurhakaannya
kepada ibunya semua amalannya menjadi sia-sia. Dia diseksa oleh Allah menjelang
kematiannya, mulutnya terkunci dan tidak dapat mengucapkan kalimat tauhid
.Kalaulah dia meninggal dalam keadaan begini tentulah dia akan mati dalam kesudahan
yang tidak baik. Setelah ibunya memaafkan kesalahannya barulah dia dapat
mengucapkan kalimah tauhid dan meninggal dengan tenang.
2) Kewajipan
berbuat baik kepada kedua ibu bapa mestilah menjadi keutamaan yang paling atas
selepas kewajipan untuk taat kepada Allah dan RasulNya. Ia tidak boleh diatasi
oleh kepentingan orang lain seperti isteri, anak-anak, kawan-kawan dan
sebagainya.
'Alqamah
berbuat yang sebaliknya. Dia mengutamakan kepentingan isterinya daripada
kepentingan ibunya sendiri. Inilah kederhakaan yang mendatangkan seksa kepada
dirinya.
3) Memang
benar redha Allah itu terletak pada redha kedua ibu bapa dan murka Allah
terletak pada murka kedua ibu bapa.
Maka dengan
sebab itu Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam sendiri tidak dapat berbuat
apa-apa terhadap penderitaan yang menimpa 'Alqamah, dan hanya redha ibunya
sahaja yang dapat mengatasinya.
Sebagai
suatu rumusan, memang tabiat semulajadi manusia untuk menyayangi zuriat mereka.
Sebab itu ibu bapa tidak akan mudah luntur kasih sayang mereka terhadap
anak-anak. Mereka akan mengorbankan apa saja yang termampu demi anak-anak. Akan
tetapi di sebelah pihak anak-anak pula, mereka cepat lupa akan kasih sayang dan
pengorbanan kedua ibu bapa. Mungkin inilah di antara hikmatnya Allah Subhanahu wa
ta'ala memperuntukkan di dalam Al-Qur'an secara tegas akan kewajipan berbuat
baik kepada ibu bapa supaya anak tidak mudah mengabaikan kewajipannya kepada
kedua ibu bapa. Sebaliknya di pihak ibu bapa pula tidak lagi perlu
diperingatkan untuk sentiasa menyayangi anak-anak mereka, kerana sifat
semulajadi sudah cukup untuk mendorong mereka berbuat demikian.
Sebagai
renungan kita perhatikan sebuah hadits Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam,
Baginda bersabda yang maksudnya :
"Berbuat
baiklah kepada bapa-bapa kamu nescaya anak-anak kamu akan berbuat baik kepada
kamu."
(Hadits
riwayat Ath-Thabarani dengan sanad yang baik)
Tamat
Niyaz Khalil
Harapan dari
Seorang Sahabat
0 komentar:
Posting Komentar