Dalam jalur
hubungan secara mendatar di antara sesama manusia, dari segi tertib dan
prioriti, hubungan dengan ibu bapa mempunyai martabat yang khusus dan tinggi.
Bagi anak, dia hendaklah meletakkan pada kedudukan yang tinggi dan istimewa
martabat kemuliaan ibu bapa dan wajib mendahulukan mereka sebelum orang lain
dalam berbuat bakti selepas Allah Ta'ala dan RasulNya. Kemuliaan dan ketinggian
martabat ibu bapa itu bukan diangkat oleh siapa-siapa tetapi diangkat dan
dimuliakan oleh Allah Subhanahu wa ta'ala, sehinggakan Nabi Shallallahu 'alaihi
wasallam bersabda yang maksudnya :
"Keredhaan
Allah terletak pada keredhaan bapa dan kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan
bapa."
(Hadits
riwayat At-Tirmidzi)
Sebab apa
Allah mengangkat martabat ibu bapa? Kerana ibu dan bapa sangat besar jasanya
kepada kita. Tidak ada manusia di muka bumi ini yang lebih besar jasanya kepada
kita selain ibu dan bapa. Dengan susah payah ibu kita mengandungkan dan
melahirkan. Kemudian ibu bapa kita mengasuh, membesarkan, mendidik dan
mencukupkan segala keperluan. Semua itu dilakukan dengan tulus ikhlas dan
dengan rasa penuh kasih sayang.
Oleh itu,
dalam membina hubungan sesama manusia, ibu bapa mestilah mendapat keutamaan
lebih daripada orang lain. Sangat ganjil rasanya jika seseorang mempunyai
hubungan yang baik dengan orang lain seperti kawan-kawan di pejabat, di sekolah
dan sebagainya, akan tetapi hubungan dengan ibu bapa sendiri diabaikan, apatah
lagi jika diderhakai.
Tuntutan
berbuat baik kepada ibu bapa bukanlah berdasarkan adat atau kebiasaan yang
diwarisi turun-temurun, akan tetapi ianya merupakan tuntutan syara'. Islam
menuntut supaya setiap orang berbuat baik kepada ibu bapa, dan hukumnya adalah
fardhu 'ain. Maknanya, apabila dihukumkan fardhu 'ain maka setiap orang wajib
berbuat baik kepada ibu bapanya sendiri, dan perkara berbuat baik kepada
keduanya itu bukanlah suatu yang boleh diwakil-wakilkan kepada orang lain untuk
melakukannya. Tuntutan ini banyak dijelaskan melalui dalil-dalil syara', di
antaranya sebagaimana terkandung di dalam firman Allah Ta'ala yang tafsirnya :
"Dan
Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya
semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah
seorang daripada keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua
dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka
(sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan 'ah!', dan janganlah engkau
menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang
mulia (yang bersopan santun). Dan hendaklah engkau merendah menghinakan diri
kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk
mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurkanlah rahmat kepada mereka
berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan
mendidikku semasa kecil."
(Surah
Al-Israa', ayat 23-24)
Di dalam
ayat yang lain Allah Subhanahu wa ta'ala berfirman yang tafsirnya :
"Dan
Kami wajibkan manusia berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah
mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan
menanggung susah payah."
(Surah
Al-Ahqaf, ayat 15)
Sementara
dalil-dalil yang terdiri daripada hadits Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam yang
menegaskan tentang perkara ini, di antaranya hadits yang diriwayatkan oleh Abdullah bin 'Amr bin
'Al-'Ash, beliau berkata yang maksudnya :
"Seorang
lelaki datang berjumpa Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam, beliau meminta izin
untuk berjihad, lalu Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bertanya: "Adakah
kedua ibu bapamu masih hidup?" Beliau menjawab: "Ya", Baginda
Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Maka kepada keduanyalah engkau
berjihad (berbuat baik kepada keduanya dengan jiwa dan harta)."
(Hadits
riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Hadits di
atas memberi petunjuk hukum bahawa berbuat baik kepada kedua ibu bapa itu
adalah lebih diutamakan berbanding tuntutan berjihad pada jalan Allah, kerana
berjihad pada jalan Allah itu merupakan tuntutan fardhu kifayah (apabila
sebahagian orang melakukannya maka gugurlah tuntutan kepada sebahagian yang
lain), sedangkan berbuat baik dengan kedua ibu bapa itu merupakan tuntutan
fardhu 'ain, di mana setiap orang mesti melakukannya. Fardhu 'ain lebih kuat
atau lebih tegas tuntutannya berbanding fardhu kifayah. Oleh itu wajib bagi
setiap orang berbuat ihsan kepada kedua ibu bapanya.
Bagaimana
caranya berbuat baik itu?
Berbuat baik
yang terkandung di dalam tuntutan ayat di atas mengandungi erti yang luas,
meliputi apa saja perbuatan yang disebut baik, sama ada berupa perkataan, amal
perbuatan, pandangan dan sebagainya. Melalui ayat di atas (Surah Al-Israa',
ayat 23-24) dicontohkan berbuat baik kepada kedua ibu bapa itu misalnya berkata
dengan sopan santun, hormat, tidak menengking, merendahkan diri dengan kasih
sayang dan mendoakan keduanya mudah-mudahan keduanya sentiasa dirahmati,
dikasihi sebagaimana mereka mengasihi kita semasa kita masih kecil.
Dugaan yang
berat yang sering dialami oleh anak ialah apabila ibu bapanya sudah terlalu tua
dan tidak pandai menguruskan dirinya sendiri lagi. Dalam keadaan begini sianak
perlu bersabar melayani kerenah mereka, jangan mudah melenting dan memarahi
mereka, kerana yang demikian itu akan menyakitkan hati mereka. Apabila hati
mereka terguris bermakna sianak sudah derhaka kepada mereka.
Salah satu
di antara tanda-tanda di mana anak tergolong sebagai orang yang derhaka kepada
ibu bapanya ialah mengakibatkan kedua mereka menangis, umpamanya melukai hati
mereka sehingga menyebabkan mereka menangis. Ini jelas sebagaimana yang
diriwayatkan daripada Ibnu Umar Radhiallahu 'anhuma, beliau berkata yang
maksudnya :
"Menyebabkan
kedua ibu bapa menangis termasuk di antara perkara derhaka dan dosa-dosa
besar."
(Hadits
riwayat Al-Bukhari dalam Kitab Al-Adab Al-Mufrad)
Ibnu Abbas
Radhiallahu 'anhuma berkata: "Yang dikehendaki dengan berbuat baik kepada
keduanya hendaklah bersikap ramah dan lemah lembut, jangan menjawab dengan
kasar, jangan memandang keduanya dengan pandangan yang tajam dan jangan
meninggikan suara ke atas mereka.
Bersambung …
Niyaz Khalil
Harapan dari
Seorang Sahabat
0 komentar:
Posting Komentar