Berbuat Baik
Kepada Ibu Bapa Yang Telah Meninggal.
Berbuat baik
kepada ibu bapa bukan setakat berbuat baik sewaktu mereka masih hidup, malahan
mestilah berterusan walaupun mereka sudah meninggal dunia. Sifat anak yang
salih, anak yang ta'at kepada kedua ibu bapa tidak akan mudah luput dari
dirinya kenangan jasa ibu bapanya. Dia akan tetap berbakti dan membalas jasa
mereka sedaya mungkin walaupun mereka sudah meninggal dunia.
Berbagai
cara boleh dibuat untuk mencurahkan bakti dan ihsan kepada ibu bapa yang sudah
meninggal dunia, di antaranya ialah:
1) Menyempurnakan
urusan jenazah mereka dengan sebaiknya menurut tuntutan syara' bermula daripada
memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan sehinggalah sempurna mereka
disemadikan. Anak perlu turut serta dalam hal ehwal urusan jenazah ibu bapanya.
Bukan setakat mengharapkan orang lain untuk menyempurnakannya. Agak malang anak
itu jika tidak dapat atau tidak mahu ikut serta menyempurnakan jenazah ibu
bapanya.
2) Berdoa
untuk arwah ibu bapa dengan memohonkan keampunan kepada Allah Subhanahu wa
ta'ala. Misalnya dengan berdoa:
Maksudnya:
"Tuhanku! ampunilah aku dan kedua ibu bapaku serta kasihanilah mereka
berdua sebagaimana mereka telah mengasihani aku semasa aku masih kecil."
Ini adalah
kerana mendoak`n ibu bapa itu merupakan di antara ciri-ciri anak yang salih dan
dengan mendoakan mereka dengan keampunan akan memberi manfaat kepada mereka
semasa di alam barzakh. Apa lagi yang mereka harapkan selepas meninggalkan
dunia? Tidak lain yang dapat membantu mereka
kecuali doa anak-anak yang mewarisi mereka. Sabda Baginda Shallallahu
'alaihi wasallam yang maksudnya :
"Apabila
seorang manusia mati terputuslah daripadanya amalannya melainkan tiga:
Melainkan sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkan atau anak yang salih yang
mendoakan untuknya."
(Hadits
riwayat Muslim)
Darjat ibu
bapa pada hari kiamat akan terangkat di sisi Allah Ta'ala disebabkan doa
seorang anak yang memintakan ampun atas dosa-dosa mereka. Hal ini telah
diterangkan melalui apa yang telah diriwayatkan daripada Abu Hurairah
Radhiallahu 'anhu, Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda yang
maksudnya :
"Sesungguhnya
seseorang itu diangkat darjatnya di dalam syurga, lalu dia berkata: "Dari
manakah semua ini?" Maka dikatakan kepadanya: "Dari anakmu yang
memintakan ampun untukmu."
(Hadits
riwayat Ibnu Majah)
Namun perlu
diingat, jika sekiranya ibu bapa yang meninggal itu terdiri daripada orang
bukan Islam maka adalah dilarang untuk mendoakan keampunan bagi mereka. Ini
adalah berdasarkan firman Allah Ta'ala yang tafsirnya :
"Tidaklah
dibenarkan bagi Nabi dan orang-orang yang beriman, meminta ampun bagi
orang-orang musyrik, sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata
bagi mereka bahawa orang-orang musyrik itu adalah ahli neraka."
(Surah
At-Taubah, ayat 113)
3)
Melaksanakan atau menyempurnakan janji atau wasiat yang telah dibuat oleh arwah
ibu bapa semasa mereka hidup.
4)
Memuliakan orang-orang yang dahulunya menjadi sahabat karib atau teman arwah
ibu bapa. Diriwayatkan di dalam hadits shahih daripada Ibnu Umar Radhiallahu
'anhuma beliau berkata yang maksudnya :
"Aku
mendengar Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Sesungguhnya
termasuk perbuatan paling baik ialah seseorang yang meneruskan silaturrahim
(hubungan baik) dengan sahabat baik ayahnya sesudah ayahnya meninggal
dunia."
(Hadits
riwayat Muslim)
Cara berbuat
baik kepada kedua ibu bapa seperti yang tersebut di atas merupakan petunjuk
yang diajarkan oleh Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam. Perkara ini jelas
sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Usaid Radhiallahu 'anhu, beliau
berkata yang maksudnya :
"Ketika
kami di sisi Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam datang seorang laki-laki
dari kaum Bani Salamah, lalu dia bertanya: "Wahai Rasulullah! Masih adakah
sesuatu kebaikan yang boleh saya kerjakan untuk kedua ibu bapa saya sesudah
keduanya meninggal dunia? Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam menjawab: "Ya,
(iaitu): mengerjakan sembahyang ke atas keduanya, memohon keampunan bagi
keduanya, melaksanakan janji keduanya sesudah (meninggal) keduanya,
menghubungkan tali silaturrahim yang terhubung kecuali kerana jasa keduanya dan
memuliakan teman-teman keduanya."
(Hadits
riwayat Abu Daud)
5)
Menziarahi kubur mereka. Menziarah kubur merupakan perkara yang disunatkan
mengikut hukum syara' khususnya bagi kaum laki-laki. Apatah lagi menziarahi
kubur kedua orang tua kita. Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam sendiri pergi
menziarahi pusara ibu Baginda, sungguhpun ibu Baginda itu tidak sempat beriman
dengan agama Islam. Ini jelas sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu
Hurairah Radhiallahu 'anhu, beliau berkata yang maksudnya :
"Nabi
Shallallahu 'alaihi wasallam menziarahi kubur ibu Baginda, lalu Baginda
menangis dan membuat orang-orang disekitar Baginda menangis. Kemudian Baginda
bersabda: "Aku minta izin kepada Tuhanku Yang Maha Mulia dan Maha Agung
untuk menziarahi kuburnya (ibu Baginda), lalu Allah mengizinkanku. Aku minta
izin kepadaNya untuk minta ampun baginya, akan tetapi tidak diizinkanNya. Oleh
itu, ziarahilah kubur, kerana sesungguhnya ia mengingatkan kepada mati."
(Hadits
riwayat Muslim)
Berdasarkan
hadits di atas, Al-Imam An-Nawawi Rahimahullahu Ta'ala menjelaskan bahawa harus
hukumnya menziarahi orang-orang bukan Islam semasa hidup mereka dan kubur-kubur
mereka selepas mereka mati.
Oleh itu,
bagi orang yang mempunyai kedua ibu bapa atau salah seorang daripada mereka
tidak berugama Islam tidak ada tegahan ke atasnya untuk menziarahi pusara ibu
bapanya yang tidak berugama Islam itu. Sekadar menziarahi tidak menjadi
kesalahan dari segi syara', akan tetapi jangan sampai mendoakan bagi mereka
keampunan, kerana Allah melarang orang Islam mendoakan keampunan bagi orang
bukan Islam.
Bersambung …
Niyaz Khalil
Harapan dari
Seorang Sahabat
0 komentar:
Posting Komentar